Koleksi Sensasi

Lima Beradik Yatim Piatu Dapat Bantuan Bulanan JKM

Lima beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan ngeri di Cheras, Jumaat lepas akan menerima bantuan kolektif RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban kewangan mereka.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihaknya kini sedang menunggu laporan lanjut daripada JKM mengenai kelima-lima beradik itu sebelum bantuan berkenaan disalurkan.

"Bantuan itu akan diberi sehingga mereka berusia 18 tahun," katanya kepada pemberita selepas melancarkan acara 'Purple Walk 2014' dan Persatuan Wanita (Perwani) Siswi di Dataran Merdeka.

Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, Juruteknik Jefri Mohd Zain, 46, dan isterinya Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal setelah digilis sebuah lori dalam kejadiaan langgar lari berhampiran susur ke Cheras, di Jalan Loke Yew.

Pasangan itu meninggalkan lima anak - Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3.