Koleksi Sensasi

Penyokong JDT Tunjuk Samseng Lagi

Di mana saja ada penyokong JDT, tentu ada kekecohan. Sikap angkuh dan samseng sebahagian penyokong JDT kali ini terbukti lagi selepas pasukan mereka seri 1-1 dengan salah satu pasukan gergasi Pantai Timur, Pahang malam tadi. Ikuti laporan metro

Kekecohan dicetuskan segelintir penyokong tuan rumah menyebabkan kira-kira 100 penyokong dan juga pemain Pahang tidak dapat keluar dari Stadium Tan Sri Hassan Yunus sebaik perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.


Tindakan provokasi segelintir penyokong termasuk menghambur kata-kata kesat menyebabkan situasi bertukar tegang dan memaksa pasukan keselamatan daripada Polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan mengambil langkah berjaga-jaga.

Sehingga 12.20 tengah malam tadi, penyokong masih enggan bersurai walaupun dinasihatkan pihak keselamatan.

Kekecohan dipercayai berpunca daripada insiden kekasaran ke atas pasukan JDT sewaktu Liga Super di Kuantan sebelum ini.

Pihak polis dilihat menemui wakil penyokong tempatan, seorang lelaki awal 40-an yang sebelum itu lantang bersuara termasuk menuntut pemain Pahang menuntut maaf di atas apa yang terjadi dan pertemuan tertutup antara lelaki itu serta wakil pemain Pahang diaturkan Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Superintendan Abd Samad Salleh.


Sewaktu wakil Elephant Army yang memperkenalkan diri sebagai Angah memohon maaf daripada rakyat dan penyokong Johor selain berjanji tidak akan berlaku kekasaran terhadap penyokong Johor, keadaan tiba kecoh apabila polis mula menangkap orang ramai yang sejak tadi berkumpul.

Bagaimanapun, Abd Samad berkata, pihaknya berjaya menyuraikan penyokong JDT hampir dua jam selepas tamat perlawanan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada terdapat sebarang tangkapan. 

Sejurus selepas semua penyokong JDT bersurai, pemain serta penyokong Pahang dilihat meninggalkan stadium.

Pahang membawa pulang bekal kelebihan jaringan di tempat lawan apabila mengikat JDT 1-1 di sini, dalam saingan malam tadi.