Koleksi Sensasi

Yingluck Jalani Ritual Buang Nasib Malang

Chiang Mai: Nasib yang sering tidak menyebelahi Yingluck Shinawatra mungkin memaksanya menjalankan upacara keagamaan di Wat Phrathat Doi Suthep semalam bagi membuang nasib malang yang menimpanya.

Bekas perdana menteri itu mengunjungi wat berkenaan ditemani anak lelakinya, Supasek Amornchat dan kakaknya Monthathip Shinawatra.

Gabenor Chiang Mai, Wichien Putthiwinyu dan beberapa penyokongnya turut menyertai upacara itu dengan dibantu sami Phra Thepvorasitthajarn serta 14 orang sami lain.


Selepas terpaksa melepaskan jawatannya pada Mei 7 lalu, Yingluck dikatakan berkampung semula di Chiang Mai yang menjadi antara wilayah paling kuat menyokong kerajaannya.

Seperti abangnya, Thaksin, kuasa Yingluck serta Parti Pheu Thai banyak disokong golongan petani, luar bandar dan rakyat marhaen negara itu.

Kebanyakan petani bertumpu di kawasan wilayah utara Thailand.

Minggu lalu Yingluck terpaksa melepaskan jawatan apabila Mahkamah Perlembagaan mendapati dia menyalahgunakan kuasanya memindahkan pegawai kanan keselamatan Thawil Pliensri pada 2011 atas sebab peribadi.

Pemindahan Thawil membuka ruang untuk Jen Priewpan Damapong - abang ipar Yingluck - dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan pegawai asal, Jen Wichen Photposree (yang menggantikan Thawil di Majlis Keselamatan Negara).

Sehari selepas penghakiman itu, Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan pula memutuskan untuk mengheret Yingluck atas dakwaan cuai dalam skim subsidi kerajaan yang gagal membantu petani.- Agensi
posted@malaysiasensasi.net