Koleksi Sensasi

Ustaz Kazim Jawab Petikan Ceramah 'Roti Jala Cicah Kari'


Pendakwah selebriti Ustaz Kazim Elias berkata beliau tidak bermaksud memberi contoh Nabi Muhammad S.A.W melakukan kenduri paling mahal dengan menyediakan roti jala yang dicelup dengan kuah kari seperti yang dipaparkan dalam sebuah buku dan juga rakaman ceramah yang tersebar.

Menurut Kazim, sebenarnya mengikut sejarah, Nabi pernah menyediakan roti yang dicicah dengan kuah kambing dan bagi mengikut sunah Rasulullah, masyarakat zaman ini boleh menyediakan roti jala dicelup dengan kuah kari kepada tetamu yang hadir.

Pada tahun lalu, sebuah buku berjudul Tuhan Sedang Menguji Kita yang memetik ceramah-ceramah Kazim telah diterbitkan di bawah penerbitan Karangkraf.

Artikel yang ditulis di sebuah buku 'Tuhan Sedang Menguji Kita'.

Bagaimanapun buku tersebut menjadi bualan ramai apabila pada muka surat ke-51, terdapat artikel yang mengatakan kenduri Rasulullah S.A.W yang paling mahal adalah roti jala dicelup dengan kuah kari.

Rakaman video ceramah mengenai topik itu juga turut dirakamkan dan disiarkan menerusi YouTube sehingga menimbulkan komen-komen negatif masyarakat.

Ramai yang memberi reaksi bahawa Kazim telah menyampaikan informasi salah dan ia boleh menjejaskan akidah masyarakat yang mengikuti ceramah-ceramahnya.

Dalam pada itu, Kazim berkata, sebelum buku tersebut diterbitkan, dia telah membuat beberapa pembetulan termasuklah bahagian isu roti jala yang ditulis, namun dia tak pasti sama ada ia telah diperbetulkan atau tidak.

Sementara itu, Kazim berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan isu yang ditimbulkan kerana dia tahu ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan kontroversi tersebut dengan memanipulasikan kenyataannya itu.