Koleksi Sensasi

Lelaki Kumpul Kuku Yang Dipotong Sejak 36 Tahun Lalu


Seorang lelaki dari Lafayette di sini telah mengumpul kuku kaki dan jarinya yang dipotong sejak Februari 1978 dan menyimpannya dalam sebuah balang kaca sebagai koleksi kesayangan, lapor portal The Huffington Post, baru-baru ini.

Lelaki itu, Richard Gibson, 58, yang juga seorang pelabur minyak pada mulanya hanya menyimpan kukunya yang dipotong dalam kotak rawatan kuku dan tidak membuang ke dalam tong sampah seperti orang lain.

"Saya mula menyimpannya sedikit demi sedikit untuk melihat berapa lama masa yang diambil untuk ia memenuhi kotak," katanya yang mengambil masa selama dua tahun mengumpul kuku dalam kotak rawatan kuku sebelum memindahkannya dalam balang kaca.

Menurut Gibson, bekas isterinya selalu memaksanya menyembunyikan balang kaca itu di tempat lain jika ada tetamu datang ke rumahnya.

Koleksi kuku milik Gibson pernah disiarkan dalam rancangan popular Ripley's Believe It Or Not yang menghimpunkan lebih 70,000 fakta pelik lain melibatkan individu seluruh dunia.

– AGENSI