Koleksi Sensasi

AS Guna Pesawat Paling Canggih Serang IS


Serangan udara tentera bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS) ke atas kedudukan militan Negara Islam (IS) di Syria kelmarin menjadi medan ujian peperangan pertama kepada sebuah pesawat tempur generasi baharu AS, F-22 Raptor.

Pesawat F-22 merupakan jet pejuang paling canggih milik AS yang direka supaya tidak boleh dikesan radar dan mampu terbang lebih jauh serta lebih pantas berbanding jet pejuang F-15 Eagle.

F-22 juga boleh terbang melebihi dua kali ganda kelajuan bunyi dan mempunyai jarak operasi sejauh 3,200 kilometer serta dilengkapi dengan pelbagai jenis peluru berpandu antipesawat canggih.

Jet pejuang itu direka untuk menguasai ruang udara serta mampu memusnahkan musuh di darat kerana boleh membawa dua bom pintar GBU-32 seberat 453 kilogram atau lapan bom yang lebih kecil.

Kelajuan dan sistem pengesan serta pengendalian yang canggih membolehkan F-22 menjatuhkan bom sejauh 24 kilometer dari sasaran.

Syarikat Lockheed Martin yang mengeluarkan pesawat itu berkata, F-22 akan menjadi kuasa udara dominan untuk tempoh 40 tahun akan datang.

Sementara itu, sebuah badan pemantau hak asasi di Syria memberitahu, tentera bersekutu melakukan 20 serangan ke atas beberapa lokasi IS dan al-Qaeda yang sedang mara ke bandar Kobane yang didiami penduduk Kurdis.

Menurut badan itu, seramai 120 militan IS dan al-Qaeda termasuk lapan orang awam dilaporkan terbunuh dalam serangan udara berkenaan. - Agensi