Koleksi Sensasi

Hadiah Lembu Jika Lebih 15 Pelajar Catat 5A

Hadiah seekor lembu untuk dibuat kenduri menanti mana-mana sekolah di Hulu Besut yang lebih 15 pelajarnya mencatat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, hadiah itu sebagai insentif kepada pihak sekolah bagi melahirkan murid yang bersungguh-sungguh dalam menduduki UPSR bermula Selasa.

"Mana-mana sekolah yang mampu mencapai lebih 15 orang memperoleh keputusan 5A boleh mendapatkan hadiah tersebut daripada saya sebaik sahaja keputusan dikeluarkan sebelum cuti akhir tahun nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pelajar tahun enam dan guru Sekolah Kebangsaan Alor Keladi dalam satu perhimpunan sebelum pelajar berkenaan memasuki dewan peperiksaan Selasa.

Sejumlah 3,171 calon daripada 55 sekolah di daerah Besut menduduki UPSR kali ini.

posted@malaysiasensasi.net