Koleksi Sensasi

Kanak-Kanak Didakwa Dilarikan Ke Pakistan Dalam Keadaan Sihat - Wisma Putra

Kanak-kanak yang didakwa dilarikan ke Pakistan kini dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan tinggal bersama bapanya di Mansehra, Pakistan.


Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata pihak berkuasa negara itu memaklumkan bahawa bapa kepada Ziad Mohammad Talib, 9, telah mengemukakan tuntutan cerai terhadap isterinya, seorang rakyat Malaysia dan hak penjagaan kanak-kanak itu secara rasmi di Mahkamah Sivil Mansehra.

"Kementerian Luar mengesahkan mengambil tindakan berhubung kes aduan kehilangan Ziad melalui laporan daripada ibu beliau, Zarena Bibi Omar Din pada 14 April. 

"Hasil kerjasama kerajaan Pakistan, pihak berkuasa Pakistan pada 27 Jun memaklumkan bahawa Mohammad Talib Abdul Rauf dan anaknya tinggal di Mansehra dan berada dalam keadaan sihat," menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Luar, kes itu merupakan kes keluarga yang melibatkan perceraian dan tuntutan penjagaan anak.

"Walaupun demikian, Kementerian Luar sentiasa peka dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya kepada warga negara Malaysia yang menghadapi permasalahan konsular berdasarkan kapasiti sedia ada," katanya.

Pada 15 September lepas, Zarena Bibi pada satu sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional, Ipoh memohon pertolongan daripada Wisma Putra untuk membawa balik anak tunggalnya yang didakwa diculik oleh suaminya, seorang warga Amerika Syarikat, yang berasal dari Pakistan. 

Zarena Bibi mendakwa, pada 31 Januari lepas, dia dan anaknya telah dipaksa oleh suaminya pergi ke Mansehra, atas alasan untuk melawat keluarga dan dijadualkan pulang ke Malaysia pada 3 Februari.

Bagaimanapun, apabila mereka tiba di rumah keluarga Mohammad Talib pada 2 Februari, beliau mendakwa suaminya itu memberitahu tujuannya adalah untuk melarikan mereka dan mengugut untuk membunuhnya.

Beliau mendakwa telah dipukul dan dipaksa menandatangani dua perjanjian dalam Bahasa Inggeris serta Urdu selain diugut tidak akan dihantar pulang ke Malaysia.

"Pada 8 Mac, saya telah menerima panggilan daripada suami mengatakan saya akan dihantar pulang dengan syarat menyerahkan rumah, kereta dan duit.

"Dua hari kemudian, saya diberikan tiket penerbangan pulang tetapi anak saya masih ditahan oleh keluarga suami di sana," dakwa Zarena Bibi.