Koleksi Sensasi

Liza Abdullah Sangkal Laporan Bakal Kahwini Jurukamera

Pelakon terkenal Liza Abdullah menyangkal laporan sebuah akhbar mingguan kononnya dia bakal berkahwin dengan seorang jurukamera pada Disember depan.


Liza, 50, berkata, dia hanya mengetahui mengenai dakwaan berkenaan selepas membaca laporan itu dan menegaskan dia tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana lelaki selepas bercerai dengan bekas suaminya, Zolkifli Abdul Rahman pada Februari lalu.

Menerusi laporan berkenaan, sumber yang dikatakan sebagai rakan rapat dramatis tersebut mendedahkan jurukamera tersebut sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk memperisterikan Liza namun pelakon itu tidak segera memberi jawapan kerana baharu sahaja bercerai.

Bagaimanapun selepas melihat kesungguhan lelaki itu akhirnya hati Liza terbuka untuk menerimanya dan pasangan berkenaan dikatakan sedang sibuk membuat persiapan majlis pernikahan mereka namun tidak merancang untuk mengadakan majlis secara besar-besaran.

Dalam pada itu, Liza berkata, dia terkilan dengan individu mendakwa sebagai teman rapatnya kerana sanggup mereka-reka cerita yang disifatkan tidak berasas tentang dirinya.

Sementara itu, Liza berkata, ekoran laporan berkenaan anak-anak, keluarga dan bekas iparnya menelefonnya bagi mendapatkan kesahihan berita tersebut.

Jelasnya lagi, gosip seperti itu mampu memberi kesan buruk kepadanya terutama jika ada yang tidak membaca isi keseluruhan laporan itu.

Dalam perkembangan lain, Liza berkata, selain sibuk dengan aktiviti penggambaran dia kini berada di Lenggong, Perak bagi menghadiri program bersama Perbadanan Kemajuan Filem Negara Nasional (Finas) dalam menyampaikan maklumat mengenai peranan perbadanan tersebut dikalangan masyarakat menerusi aktiviti menarik.
posted@malaysiasensasi.net