Koleksi Sensasi

Rumah 'Paling Kecil Di Dunia' Berharga RM1.43 Juta

LONDON - Sebuah rumah yang dianggap sebagai rumah 'paling kecil di dunia' yang terletak di kejiranan Islington di utara London bakal dijual pada harga AS$450,000 (RM1.43 juta), lapor New York Daily News.

Rumah dengan sebuah bilik tidur, dapur dan sebuah bilik air itu terletak di kawasan kejiranan terkenal di London yang mana harga hartanah di lokasi itu melambung pada setiap tahun.

Kediaman tersebut sangat kecil sehingga bilik tidur dibina di atas dapur dan pemiliknya perlu menaiki tangga kecil untuk ke ruang berkenaan.

Seorang ejen jualan rumah berkenaan berkata, hartanah itu sangat unik dan baru sahaja dibina serta dijual di pasaran.

Harga hartanah di Islington telah meningkat sebanyak 20 peratus sejak beberapa tahun lalu.