Koleksi Sensasi

Taraf Hidup Rakyat Meningkat, Purata Pendapatan Isi Rumah 2014 RM5,900 - Wahid


Angka awal Kajian Pendapatan Isi Rumah 2014 yang dijalankan kerajaan, menunjukkan taraf hidup rakyat meningkat, dengan purata pendapatan isi rumah melepasi RM5,900 sebulan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata ia merupakan pencapaian yang ketara berbanding hasil kajian pada 2012 yang merekodkan purata pendapatan isi rumah sebanyak RM5,000 sebulan.

"Daripada segi meningkatkan ekonomi, kita sudah berjaya, dan dibuktikan dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 6.3% pada separuh pertama tahun ini.

"Namun, mengembangkan ekonomi semata-mata tidak mencukupi kerana kita juga mesti memastikan ia dapat dirasai rakyat, daripada segi gaji lebih tinggi yang mesti selari dengan produktiviti," katanya pada sidang media di luar acara Simposium Ekonomi Global 2014.
Nisbah gaji kepada KDNK di Malaysia berkembang kepada 33.6% tahun kepas berbanding 29.3% pada 2008.

Menyentuh ringkas Rancangan Malaysia ke-11, Wahid berkata kerajaan kini berada pada kedudukan yang baik untuk membentangkan rancangan pembangunan itu di Parlimen Mei tahun depan berikutan penyelesaian pelarasan awal dengan 12 kerajaan negeri.

"Hanya tinggal Sabah. Saya akan menemui ketua menteri dan Kabinet negeri minggu depan," katanya.

Simposium 3 hari ini yang bermula Sabtu, dianjurkan Kiel Institute for the World Economy dan dihoskan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Simposium sebelum ini berlangsung di Istanbul, Turki dan Rio de Janeiro, Brazil dan pertama kali berlangsung di Malaysia. – Bernama