Koleksi Sensasi

Israel Bina 78 Rumah Haram di Baitulmuqaddis

Kerajaan Israel kelmarin meluluskan pembinaan 78 buah rumah di dua penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dalam langkah yang dijangka menyemarakkan lagi ketegangan di wilayah berkenaan.


Seorang jurucakap suruhanjaya perancang bandar Baitulmuqaddis berkata, pihaknya telah meluluskan pembinaan 50 unit rumah di Har Homa dan 28 unit rumah lagi di Ramot.

Keadaan Baitulmuqaddis semakin tegang sejak beberapa minggu lalu berikutan dua penduduk Palestin membunuh empat penganut Yahudi pada Selasa lalu termasuk seorang anggota polis di tempat ibadat Yahudi yang terletak berhampiran Masjid al-Aqsa.

Serangan tersebut dianggap yang terburuk di bandar itu sejak tahun 2008.

Seorang jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, keputusan tersebut jelas menunjukkan dasar Israel yang hanya mahu mencetuskan ketegangan di Baitulmuqaddis.

“Keputusan itu menyebabkan pertikaian semakin buruk dan memusnahkan semua harapan keamanan di wilayah ini,” katanya.

Penduduk Palestin sebelum ini membantah keputusan rejim Zionis yang mahu meneruskan pembinaan kira-kira 4,000 rumah di lokasi yang ditawan mereka di Tebing Barat.

Pihak Berkuasa Palestin mahu menubuhkan negara wilayah yang ditawan Israel di Baitulmuqaddis Barat, Tebing Barat dan Genting Gaza dalam Perang Timur Tengah pada tahun 1967.

Aktiviti pembinaan penempatan haram Yahudi tersebut sering dikritik Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat serta beberapa negara yang menganggap pembinaan tersebut sebagai menyalahi undang-undang. – Reuters