Koleksi Sensasi

Perkahwinan A Rahman Hassan & Fadilah Mansor Dapat Restu Anak

Penyanyi era 60-an Datuk A Rahman Hassan bersyukur kerana keputusannya untuk berkahwin dengan aktres Fadilah Mansor pada Disember ini mendapat restu daripada tiga anaknya.

A Rahman berkata, anak-anaknya yang menggalakkan beliau supaya berkahwin segera dengan wanita berkenaan kerana tidak mahu dia keseorangan sejak kematian isterinya, Datin Azizah Mohamad pada 26 April tahun lalu.

"Alhamdulillah anak-anak semua setuju dengan perkahwinan ini malah mereka menyuruh saya mempercepatkannya kerana mereka bimbang saya seorang diri tanpa teman.

"Malah saya juga meminta nasihat daripada rakan-rakan dan mereka juga gembira dengan keputusan saya untuk melamar Fadilah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Allahyarham Azizah meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim tahap akhir selain penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Sementara itu, bercakap mengenai perkenalannya dengan Fadilah, A Rahman berkata, mereka bertemu buat pertama kali setahun lalu dalam sebuah majlis hiburan sebelum hubungan itu semakin rapat dan seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin.


Jelasnya lagi, dia sebenarnya berasa malu untuk bercakap mengenai perkara tersebut kerana sedar pada usianya sekarang tidak manis untuk berbicara secara terbuka soal hati dan perasaan.

"Saya bukan muda lagi malah sudah tidak popular untuk bercakap mengenai soal ini namun Alhamdulillah pada usia begini saya dipertemukan dengan seorang wanita yang dapat menjadi teman hidup selain menerima saya dan keluarga.

"Apa yang boleh saya katakan Fadilah ada ciri-ciri yang saya mahu dan kami selesa bersama. Doakan yang baik-baik buat kami berdua," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai majlis itu nanti, A Rahman bagaimanapun masih belum bersedia untuk mendedahkan tarikh dan lokasi kerana ingin menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman rasmi.

Bagaimanapun kata A Rahman, majlis itu nanti hanya akan diadakan secara sederhana dengan kehadiran keluarga, kenalan dan rakan media.

"Saya sebenarnya terkejut apabila berita mengenai perancangan saya untuk berkahwin tersebar begitu cepat namun saya minta maaf kerana tidak dapat mendedahkan tarikh dan lokasi buat masa ini.

"Biarlah kami siapkan dahulu semua persiapan dan Insya-Allah saya akan maklumkan kemudian tarikh dan lokasi kepada pihak media tidak lama lagi," ujarnya.