Koleksi Sensasi

PTPTN: Terengganu Tampung Caj Pengurusan 1%

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menampung caj pengurusan satu peratus ke atas pinjaman yang dibuat pelajar negeri itu mulai tahun 2015.
   Ahmad Razif Abdul Rahman
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia bagi meringankan beban pelajar dan menggalakkan pembayaran balik pinjaman PTPTN.
   
"Dalam banyak perjumpaan saya dengan pelajar Terengganu di universiti-universiti tempatan, isu kos sara hidup termasuk pinjaman PTPTN sering dibangkitkan.
   
"Namun, caj pengurusan satu peratus ini ditanggung kerajaan negeri, khas untuk pinjaman yang dibuat pelajar Terengganu bermula tahun 2015," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2015 di persidangan DUN Terengganu di sini hari ini.
   
Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan negeri turut menanggung caj pengurusan satu peratus bagi pinjaman PTPTN yang dibuat pelajar Terengganu pada tahun 2014 dan tahun sebelumnya, Ahmad Razif berkata perkara itu akan dipertimbangkan kemudian dan ia bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.

Terdahulu, ketika membentangkan Bajet 2015, Ahmad Razif turut mengumumkan pemberian hadiah sebanyak RM500 dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada semua murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. - Bernama