Koleksi Sensasi

‘Afghan Girl’ Selepas 30 Tahun

PESHAWAR – Gadis mata hijau dikenali sebagai ‘Afghan Girl’ di muka depan majalah National Geographic 30 tahun lalu masih hidup sebagai pelarian di Pakistan, malah terperangkap dalam skandal rasuah negara ini.


Gambar gadis itu, Sharbat Gula ketika dia berusia 12 tahun di sebuah kem pelarian muncul sebagai foto muka depan paling terkenal untuk majalah tersebut 30 tahun lalu.

Jurugambar, Steve McCurry yang bertanggungjawab merakam gambar gadis malang itu kemudian berusaha mencari semula gadis itu selepas 17 tahun dan akhirnya menemui Sharbat pada 2002 di sebuah perkampungan terpencil di Afghanistan.

Kini ketika berusia 42 tahun, Sharbat yang merupakan warga Afghanistan disiasat pihak berkuasa negara ini kerana disyaki menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan kad pengenalan Pakistan bagi membolehkan dia tinggal di bandar ini.

Menurut pihak berkuasa di sini, wanita itu memohon kad pengenalan Pakistan di bawah nama Sharbat Bibi pada April 2014 di Peshawar. Kes itu merupakan sebahagian daripada siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemberian beribu-ribu kad pengenalan kepada pelarian Afghanistan.

Seorang wartawan AFP yang mencari rumah wanita itu mengikut alamat dalam rekod pengenalan dirinya dimaklumkan penduduk setempat bahawa dia dan suaminya telah meninggalkan rumah tersebut bulan lalu.

Dokumen rasmi daripada Pihak Berkuasa Pendaftaran dan Pangkalan Data Kebangsaan (NADRA) Pakistan menunjukkan Sharbat memberi maklumat bahawa dia lahir di Peshawar pada Januari 1969 dalam dokumen permohonan kad pengenalan tersebut.

“Semua dokumen sokongan diberikan Sharbat adalah palsu, manakala dua ‘anak lelakinya’ yang turut menerima kad pengenalan pada hari sama disyaki tidak mempunyai pertalian darah dengan wanita itu,” kata jurucakap NADRA, Faik Ali Chachar.

Katanya lagi, kes Sharbat dikesan pihak berkuasa di sini pada Ogos lalu sebelum dihantar kepada Agensi Siasatan Persekutuan (FIA) Pakistan.

Sekitar 23,000 permohonan kad pengenalan pelarian Afghanistan berjaya disekat NADRA sejak agensi itu ditubuhkan 12 tahun lalu. – Agensi