Koleksi Sensasi

Di Isreal PM Beli Aiskrim Dikritik

PM_Israel_Ice_Cream

Tel Aviv – Tinggal sebulan lagi menjelang pilihan raya umum terbaharu Israel, juruaudit pemerintah mengkritik hobi mewah Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menghabiskan banyak wang hanya untuk pelbagai kepentingan peribadi.

Meskipun beliau sudah memiliki seorang cef peribadi, pemimpin rejim itu dipercayai suka membelanja makanan di luar secara berlebihan dan tidak logik termasuk membeli ais krim yang berjumlah kira-kira 10,400 sheqel (RM9,800) setiap tahun.

Dalam laporan setebal 40 halaman itu juga, jabatan audit Israel melaporkan, anggaran yang diguna pakai Netanyahu untuk membeli makanan berjaya mencapai 472,341 sheqel (RM445,177) sepanjang pentadbiran beliau pada 2011 lalu.

Ini bermakna setiap hari beliau berbelanja untuk makanan sahaja sebanyak 1,294 sheqel (RM1,219), manakala untuk membeli ais krim, Netanyahu sanggup menghabiskan duit kerajaan sehingga 28 sheqel (RM26) dalam sehari sahaja.



Media Israel melaporkan Netanyahu menawarkan kontrak pembelian ais krim sehingga 14 kilogram setiap bulan daripada sebuah kedai bernama Metudela di Balfour Street yang memenuhi cita rasa beliau iaitu perisa vanila dan kacang pistachio.

Laporan audit rasmi yang dikeluarkan pada Selasa oleh ketua audit negara, Yoseh Shapira turut menunjukkan, Netanyahu dan isterinya, Sara, berbelanja ribuan bajet wang rakyat untuk membina rumah istirahat mereka di bandar Kaisarea.

Hobi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu suka makan ais krim menyebabkan beliau menyarankan rakyat Israel agar banyak makan ais krim dan mengurangkan amalan makan roti.

Keadaan itu mengakibatkan sebanyak 77,120 sheqel (RM72,682) bajet tahunan kerajaan terpaksa habis digunakan untuk membangunkan jaringan air bersih dan pembaikan sistem elektrik di rumah agam milik peribadi pasangan tersebut.

Dokumen audit dari 2011 sehingga 2013 itu juga menunjukkan isteri Netanyahu banyak mengeluarkan wang akaun rasmi kerajaan untuk membeli pelbagai jenis kosmetik dan produk perawatan rambut, namun tidak menyatakan jumlah tepat.

Marah dengan laporan audit itu, Netanyahu sebaliknya menyalahkan bekas pegawainya, Menny Naftali, yang didakwa tidak berupaya mengurus isu kewangan rumah tangga perdana menteri tetapi tuduhan itu dinafikan Naftali sebagai karut.

Laporan terbaharu audit kewangan yang dilihat agak ‘menyusahkan’ Netanyahu ini bakal dijadikan ‘senjata’ oleh lawan-lawan politik beliau menjelang pilihan raya kebangsaan yang akan berlangsung pada 17 Mac depan. – Agensi