Koleksi Sensasi

Kes Sirul: Minta bantuan MP Australia

PKR akan meminta bantuan ahli Parlimen Australia untuk membuat permohonan rasmi kepada kerajaan negara itu supaya bekas anggota polis Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Sirul Azhar Umar dibenarkan ditemu bual oleh media Malaysia dan antarabangsa.


Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, temu bual itu perlu dilakukan setelah baru-baru ini Sirul menyatakan kesediaannya untuk memberi keterangan terbaharu mengenai kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Dengan adanya sesi temu bual ini, ia seterusnya boleh menjadi asas untuk membuka semula siasatan kes itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti tersebut, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau juga sudah berbincang mengenai kedudukan Sirul dengan beberapa ahli parlimen Australia.

“Saya difahamkan Sirul tidak boleh ditemu ramah oleh mana-mana media tanpa kebenaran kerajaan Australia kerana beliau ketika ini ditahan di bawah Jabatan Imigresen Australia,” katanya.

Pada masa sama, Rafizi berkata, PKR cuba mendapatkan bantuan daripada seorang ahli parlimen Australia untuk wakilnya berjumpa dengan Sirul bagi memastikan keselamatannya terjamin.

“Saya yakin dengan usaha semua pihak (berkaitan), perkara sebenar mengenai pembunuhan Altantuya akhirnya akan diketahui umum, terutamanya persoalan siapa yang mengarahkan Sirul menembak dan meletupkan Altantuya,” katanya.

Dalam pada itu, kata Rafizi, pihaknya akan melancarkan kempen laporan polis secara besar-besaran di seluruh negara bermula minggu ini bagi memastikan siasatan kes berkenaan dibuka semula.