Koleksi Sensasi

Piala AFC: Pahang Menang Ke Atas Yadanarbon FC

Pasukan Pahang bermula langkah kanan pada aksi pembukaan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas mengalahkan wakil Myanmar, Yadanarbon FC 3-2 di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar,Rabu. 


Pemain gantian, R. Gopinathan muncul wira skuad 'Tok Gajah' menerusi gol kemenangan pada minit ke-88 selepas kedua-dua pasukan pasukan terikat 2-2 pada perlawanan yang disiarkan oleh sebuah televisyen berbayar itu. 

Pada aksi hari ini, Pahang berada di depan menerusi gol penyerang importnya,Dickson Nwakaeme seawal minit kelima selepas beliau bijak menyambar bola yang ditampan keluar oleh penjaga gol tuan rumah, Thiha Sithu. 

Dickson terus menjadi 'duri dalam daging' untuk pasukan tuan rumah apabila menggandakan kedudukan untuk skuad 'Tok Gajah', tujuh minit kemudian selepas bijak menggelecek pemain tuan rumah sebelum menolak masuk bola bagi menewaskan Sithu untuk kali kedua. 

Yadanarbon FC berjaya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-40 selepas pertahanan Pahang, Damion Stewart tertampan bola masuk ke gol sendiri dan keputusan itu kekal sehingga separuh masa.

Bersambung babak kedua, Pahang terus menggandakan asakan bagi memburu jaringan seterusnya namun ditimpa malang selepas kapten pasukan, Mohd Razman Roslan dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-55 kerana mengasari pemain lawan di dalam kotak penalti. 

Pemain import dari Ivory Coast, Djedje Maximin Djawa yang mengambil sepakan penalti, mudah menolak masuk bola ke dalam gawang bagi menyamakan kedudukan untuk Yadanarbon FC. 

Ketika permainan seolah-olah berakhir dengan keputusan seri, Gopinathan muncul wira menerusi sepakan lencong bagi mengesahkan tiga mata mutlak menjadi milik Pahang. 

Satu lagi perlawanan kumpulan G membabitkan Global FC dari Filipina dan South China dari Hong Kong berlangsung di Stadium Memorial Rizal,Manila, Filipina. 

Pahang akan menerima kunjungan Global FC pada aksi kedua kumpulan di Stadium Darul Makmur, Kuantan manakala South China akan menentang Yadanarbon FC di Stadium Mongkok, Hong Kong dan kedua-dua perlawanan berlangsung 11 Mac ini.