Koleksi Sensasi

Tok Gajah Sedia Gegar Yadanarbon

Kuantan: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan yang membantu skuad itu merangkul tiga kejuaraan Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih musim lalu sudah bersedia untuk meraih kemenangan pada perlawanan pertama Piala AFC 2015.


Katanya, biarpun beraksi di gelanggang lawan terlebih dulu, Pahang sedia untuk merobek gawang Yadanarbon FC dijadualkan berlangsung di Stadium Bahtoo, Myanmar, malam esok.

“Saya membawa 20 pemain dalam kunjungan ke Myanmar sebagai percaturan terbaik kerana bimbang kemungkinan ada pemain mengalami kecederaan.

“Saya harap pemain yang diturunkan bersedia untuk mengasak kubu lawan dan pada masa sama mengekang asakan tuan rumah,” katanya semalam.

Yadanarbon FC adalah juara Liga Nasional Myanmar musim lalu dan antara kelab bola sepak terbaik di negara itu yang turut diperkuatkan dua tenaga import Okpechi Happiness dari Nigeria dan Djedje Maximin Djawa (Ivory Coast).

Ditanya impiannya dalam kejohanan itu, Zainal Abidin mengulangi pendirian untuk melakar kejayaan manis pada Kejohanan Piala AFC 2015 biarpun bakal berdepan cabaran getir di peringkat kumpulan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, Pahang yang diundi dalam Kumpulan G bersama South China dari Hong Kong dan Global FC (Filipina) bersedia untuk melepasi peringkat kumpulan sebelum memberikan fokus pada peringkat kalah mati.