Koleksi Sensasi

JDT Kalah

Rekod bersih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam kempen Piala AFC lebur apabila mereka kecundang 0-2 kepada Kitchee SC semalam sekali gus terpaksa merelakan status selaku pendahulu Kumpulan F dirampas wakil kelab Hong Kong itu.


Dalam aksi di Stadium Mongkok, pasukan tuan rumah yang dibimbing oleh bekas penjaga gol Sepanyol Jose Francisco Molina memberi amaran awal apabila membuat asakan menerusi percubaan Christian Annan pada minit ke-3 namun tepat ke dakapan penjaga gol Mohd Farizal Marlias.

Johor DT yang tidak dapat menggunakan khidmat tiga pemain import termasuk dua penyerang utama dari Argentina Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa nyata bergelut pada babak pertama dengan pengendali Bojan Hodak hanya mempertaruhkan Mohd Amri Yahyah di posisi serangan.

Rekod dua kemenangan skuad Harimau Selatan ke atas East Bengal (4-1) dan Balestier Khalsa (1-0) tidak menggentarkan Kitchee SC yang membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang dari Sepanyol Juan Belencoso selepas menerima bola hantaran lintang Cheung Kin Fung di minit ke-26.