Koleksi Sensasi

Sentiasa di Ingatan

Hari ini genap setahun tragedi Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang mengorbankan 239 penumpang, termasuk dua bayi serta 12 kru dan anak kapal.


Meskipun pelbagai usaha dilakukan, misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200 yang terpahat sebagai sejarah paling buruk dalam industri penerbangan itu belum dapat dirung­kai.

Baik keluarga mangsa mahu pun masyarakat dunia tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya. Kalau benar terhempas, di mana mangsa dan bangkai pesawat?
Persoalan itu masih menjadi bualan hingga ke hari ini, termasuk dalam kalangan petugas MAS. Tidak terkecuali, Zarul Umbrella atau Zairulkefli Husin yang berkhidmat sebagai pramugara syarikat penerbangan itu.

Jelasnya, meskipun setahun berlalu, perkara itu seakan-akan baru semalam berlaku.

Seluruh warga MAS masih bersedih dengan apa yang berlaku dan mengerti keperitan dilalui keluarga mangsa, lebih-lebih lagi tidak lama selepas itu MAS dilanda musibah tragedi MH17 yang mengorbankan semua 298 penumpangnya.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita hanya mampu meluahkan rasa simpati, sedangkan yang menanggung adalah keluarga anak kapal dan penumpang.

“Seluruh warga kerja MAS bersedih dengan kejadian ini dan bersimpati dengan mangsa serta keluarga. Walaupun pengisytiharan dibuat, tragedi ini tiada penutup.

“Kita terus tertanya-tanya di mana pesawat dan mangsa serta apa sebenarnya berlaku,” kata Zarul ketika dihubungi, Selasa lalu.

Kata Zarul, anak kapal yang bertugas dalam penerbangan itu memang rapat dengannya, lebih-lebih lagi Junaidi Mohd Kassim.

Mereka pernah terbang bersama-sama, malah masih segar di ingatannya apabila selalu berbual sambil makan di kafe MAS. Banyak kenangan suka duka dikongsi bersama, sekali gus membuatkan kehilangan itu sangat dirasai.

“Saya kenal semua kru tetapi paling rapat dengan Junaidi kerana banyak kali terbang bersama. Tiga minggu sebelum kejadian, saya dan Junaidi bersarapan bersama-sama di London.

“Kalau saya sendiri terasa sangat kehilangan itu, inikan pula keluarga mereka. Pasti tidak tertanggung rasa rindu apabila insan tersayang tiada.

“Kenangan bersama kru penerbangan MH370 tidak pernah padam dalam ingatan anak kapal MAS, malah kami masih memperkatakannya hingga ke hari ini.

“Ada juga beberapa perjumpaan diadakan bagi mengumpul dana untuk diserahkan kepada keluarga anak kapal, namun saya tidak dapat turut serta kerana bertugas,” katanya.

Ketika kejadian itu, Zarul tidak bertugas kerana memohon cuti untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga. Kalau tidak bercuti, kemungkinan besar dia bertugas di pesawat penerbangan MH370 ke Beijing.

Sempena memperingati setahun pemergian anak kapal yang diisytiharkan meninggal dunia dalam nahas terbabit, MAS menganjurkan solat khas khusus yang akan dihadiri ahli keluarga, majikan serta warga kerja syarikat penerbangan itu hari ini.

Zarul yang popular dengan lagu Ramalan Ku Benar Belaka memaklumkan, dia menerima e-mel daripada pengurusan memaklumkan perkara itu tetapi tidak dapat menghadirkan diri kerana dalam penerbangan pulang dari London ke tanah air.

“Semua kakitangan sedia maklum mengenai perkara ini dan mereka yang tidak bertugas akan turut serta. Menjadi tradisi setiap tahun, MAS akan menganjurkan majlis memperingati peristiwa Tanjung Kupang dan terbaru MH370 dan MH17.

“Cuma perkara ini tidak diuar-uarkan tetapi jika ditanya, MAS selalu buat,” katanya yang kehilangan ibu tercinta pada 13 Januari lalu kerana sakit tua.

Mengenai perkembangan terkini kerjaya seninya, Zarul sedang menilai lagu yang diterima daripada beberapa komposer untuk diketengahkan sebagai single terbaru.

Memandangkan hanya satu lagu yang akan dirakam, dia perlu lebih berhati-hati dan teliti bagi memastikan ia pilihan terbaik.

“Ia bukan pilihan mudah. Setakat ini ada enam lagu dan tiga daripadanya berbeza pendekatannya daripada lagu yang pernah saya dendangkan.

“Sudah empat bulan saya pertimbangkan tapi belum ada kepastian. Mungkin material yang ada belum cukup meyakinkan.

“Kalau boleh, kali ini saya mahukan sesuatu yang segar tetapi tidak terlalu jauh menyimpang dari gaya Zarul Umbrella. Kena pilih jalan tengah dan ia mesti kena dengan selera muzik pendengar masa kini.

“Saya bagi masa hingga Jun depan, jadi ada masa dua bulan lebih saja lagi. Ketika itu yakin atau tidak, saya kena rakam juga,” katanya.