Koleksi Sensasi

Dituduh Mencuri Getah Pemadam


GEORGE TOWN - Seorang pelajar perempuan darjah satu mendakwa tangannya diikat guru kerana didakwa mengambil getah pemadam milik seorang rakan sekelasnya di sekolah di Sungai Nibong, sini.

Berang melihat ikatan di tangan yang meninggalkan bekas kemerah-merahan itu, ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Chan, membuat laporan polis mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.

Chan, 25, berkata anak perempuannya juga tidak dibenarkan membuka ikatan tersebut apabila dia ingin pergi ke tandas di sekolah rendah itu.

"Saya perasan pergelangan tangannya berbekas apabila saya menjemputnya pulang dari sekolah pada jam 6.40 petang, Isnin. Anak saya berjaya meleraikan ikatan itu sebelum habis waktu persekolahan.

"Adakah kesalahan yang dilakukan oleh anak saya begitu serius sehingga terpaksa mengambil tindakan mengikat kedua-dua tangannya? 

"Budak-budak adakalanya memang nakal tetapi tidak wajar mereka dihukum seperti itu," katanya.

Menurut Chan, dia telah berjumpa dengan guru besar sekolah anaknya  namun enggan menerima permohonan maafnya.

"Dia (guru besar) mahu mengaturkan pertemuan di antara saya dengan guru terbabit tetapi saya menolak.

"Anak saya sekarang enggan hadir ke sekolah. Saya risau tentang dia walaupun kecederaan kecil itu telah sembuh.

Pihak sekolah yang ditemui enggan mengulas lanjut mengenai kes itu apabila ditemui oleh pihak media.

Difahamkan, beberapa pegawai pendidikan negeri telah datang ke sekolah berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Datuk Osman Hussain berkata, pihaknya masih menunggu laporan dari pegawai yang dikerahkan untuk menyiasat kejadian itu.


Ketua Polis Daerah George Town, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa.