Koleksi Sensasi

Pemberontak Syiah Houthi Bedil Arab Saudi

RIYADH – Tiga terbunuh dalam satu serangan roket dan bom mortar oleh pemberontak Syiah Houthi ke atas bandar Najran, selatan Arab Saudi, kata kementerian dalam negeri di Riyadh.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada mangsa maut dalam serangan yang berasal dari wilayah Yemen itu merupakan orang awam atau anggota tentera.

Serangan udara yang dilancarkan terhadap militia Houthi oleh pakatan diketuai Arab Saudi sejak 26 Mac lalu telah mencetuskan beberapa pertempuran di sempadan negara itu dengan Yemen.

Seramai 12 askar dan pengawal sempadan Arab Saudi terbunuh dalam pertempuran itu tetapi tiada kematian melibatkan orang awam dilaporkan setakat ini.

“Tiga maut selepas bandar Najran diserang bom mortar dan roket Katyusha dari wilayah Yemen,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Twitter kelmarin.

Brigedier Jeneral Ahmed al-Assiri memberitahu televisyen tempatan bahawa bedilan pemberontak Houthi mengenai hospital, sekolah dan rumah penduduk di bandar berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Saluran televisyen Arab Saudi, Al-Ekhbariya menyiarkan rakaman kesan kemusnahan seperti tingkap kereta pecah, laluan pejalan kaki rosak, bangunan berlubang dan sebuah bilik yang hangus terbakar.

Serangan itu merupakan yang pertama dilakukan oleh pemberontak Syiah Houthi ke atas wilayah di Arab Saudi.

Ia dilancarkan ketika pemimpin enam negara Majlis Kerjasama Teluk berhimpun di Riyadh untuk menghadiri satu persidangan khas yang turut disertai oleh Presiden Perancis, Francois Hollande.

Para pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan bersama menyatakan, mereka mengalu-alukan keputusan oleh Presiden Yemen, Abedrabbo Mansour Hadi untuk menghadiri satu mesyuarat kuasa khas di Riyadh pada bulan ini dengan tujuan untuk menyelesaikan krisis politik yang melanda negaranya.

Bagaimanapun, pemberontak Syiah Houthi menolak mengadakan rundingan berkenaan di ibu negara Arab Saudi itu.

Iran yang menafikan tuduhan membekalkan senjata kepada pemberontak Houthi menggesa rundingan itu diadakan di lokasi neutral.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberitahu, sekurang-kurangnya 1,200 orang terbunuh di Yemen sejak 19 Mac akibat pertempuran antara pemberontak Houthi dan tentera yang setia kepada Abedrabbo. – AFP