Koleksi Sensasi

Rebecca Nur Al Islam Ambil 5 Beradik Sebagai Anak Angkat

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul dan atas dasar simpati terhadap lima beradik yatim piatu, pelakon Datin Rabecca Nur Al Islam dan suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman mengambil mereka sebagai anak angkat.
Rabecca yang sememangnya amat mengasihani kanak-kanak tidak sampai hati membiarkan lima beradik itu sepi daripada kasih sayang ibu bapa.
Lima beradik tersebut ialah Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3, kehilangan insan yang amat mereka sayangi apabila orang tua mereka, Jefri Mohd Zain, 46, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, tiba-tiba ‘pergi’ meninggalkan mereka selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Mei lalu.
“Selepas saya membaca berita kemalangan yang meragut nyawa ibu bapa mereka, saya berusaha mendapatkan nombor telefon ibu saudara mereka dan selepas berpuluh kali saya menghubunginya, baru saya dapat bercakap dengannya. Saya faham situasi mereka yang terpaksa berhati-hati kerana bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.
“Kini saya dan suami selalu menjenguk mereka di Cheras, bertanya khabar dan berkongsi kasih sayang dengan mereka. Mereka masih tinggal di rumah yang didiami bersama ibu bapa mereka dulu. Saya rasa mereka tiada masalah dari segi kewangan kerana ramai yang menghulurkan bantuan, cuma apa yang mereka perlukan ialah kasih sayang dan perhatian.
“Sebanyak mana kasih yang kami berikan memang tak akan sama de­ngan kasih sayang daripada ibu dan ayah kandung, namun sekurang-kurangnya mereka tahu masih ada orang di luar sana yang mengambil berat mengenai mereka,” kata.
Menurut Rabecca, dia dan Azam turut menasihat­kan agar lima beradik itu meneruskan persekolahan kerana sebelum ini Muhd Haikal bercadang mahu berhenti sekolah untuk menjaga adik-adiknya.
“Saya mahu membahagiakan mereka. Ini bukan kali pertama saya me­ngambil anak angkat tetapi perasaan belas saya pada lima beradik ini me­ngatasi yang lain kerana Allah SWT ‘menjemput’ kedua-dua ibu bapa sekali gus. Kali pertama saya berjumpa mereka, si bongsu Safia memanggil-manggil ibunya. Hati mana yang tidak meruntun, apatah lagi mengenangkan saya sendiri ada anak kecil. Saya mahu anak-anak itu berjaya dalam pelajaran dan buktikan kepada masyarakat anak yatim piatu juga boleh berjaya,” katanya.