Koleksi Sensasi

Salman Khan Dihukum Penjara Lima Tahun

Bintang Bollywood, Salman Khan dihukum penjara lima tahun selepas dia didapati bersalah melanggar lima lelaki yang tidur di tepi jalan di Mumbai pada 2002 dengan seorang mangsa meninggal dunia.


Kes tersebut telah berlarutan selama lebih 12 tahun.

Sebuah mahkamah di Mumbai semalam mendapati Salman bersalah kerana membunuh tanpa niat, manakala semua tuduhan terhadapnya telah terbukti, lapor agensi berita Press Trust of India.

Pelakon berusia 49 tahun itu kemudian memfailkan ikat jamin dan dia juga dijangka me­rayu keputusan tersebut. Salman dibenarkan bebas sehingga Jumaat ini sementara menunggu keputusan ikat jaminnya.

Dalam pada itu, ramai selebriti Bollywood dan peminat Salman menggunakan media sosial termasuk Twitter untuk menyatakan sokongan kepadanya.

Seorang daripada mereka turut menyalahkan golongan gelandangan kerana tidur di tempat yang tidak sepatutnya.

“Jalan raya dibina untuk kereta dan bukan untuk orang tidur di atasnya,” kata peminat ber­kenaan, Abhijeet Bhattacharya dalam mesej Twitternya.

Terdahulu, pihak pendakwa raya berkata, Salman mabuk semasa memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya tetapi di­nafikan aktor berkenaan.

Pada April lalu, pemandunya, Ashok Singh memberitahu mahkamah bahawa dia memandu SUV tersebut apabila kemalangan berlaku.

Singh berkata, dia gagal mengawal SUV berkenaan selepas satu tayarnya meletup.

Namun, Hakim D.W. Deshpande menolak hujah tersebut dan menuduh Salman memandu sambil mabuk dan melakukan perbuatan langgar lari.

Salman yang merupakan antara aktor paling popular di India pernah membintangi lebih 90 filem Hindi sepanjang 27 tahun dia berkecimpung dalam bidang lakonan.

Walaupun mempunyai kes mahkamah, Salman dilaporkan masih mengikat perjanjian bernilai AS$40 juta (RM142 juta) untuk berlakon dalam beberapa buah filem. – AP