Koleksi Sensasi

‘Sarjan Wong’ Tumpas di Permatang Pauh

PERMATANG PAUH: Petugas Parti Keadilan Rakyat (PKR) menangkap seorang lelaki yang mendakwa dirinya Pegawai Perisik Tentera (MIO). Kejadian berlaku di Pusat mengundi di SJK(C) Jit Sin, Berapit, kira-kira jam 12 tengahari. 


Lelaki itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Wong telah memakai baju PKR sejak waktu pengundian bermula jam lapan pagi. Saksi kejadian D Suhana,37, yang juga salah seorang petugas PKR, berkata dia dan beberapa petugas lain berjaya menangkap Sarjan Wong kerana tindak tanduknya yang mencurigakan. 

“Beliau meminta beberapa data daripada saya. Namun, saya hairan, kenapa setelah tengah hari dia masih meminta data daripada kami dan tidak mengundi,” katanya. Ujar Suhana lagi, beliau mendesak supaya lelaki tersebut menunjukkan kad pengenalannya namun lelaki itu enggan berbuat demikian. 

“Saya dan beberapa orang petugas lain terus merampas telefon bimbitnya dan selepas memeriksa data di telefon, kami mendapati beberapa data telah dihantar ke group Whatsapp BN,” katanya. Suhana berkata, Sarjan Wong tersebut mengaku menerima upah RM100 sehari tetapi memberi kenyataan berubah-ubah. 

“Mulanya dia kata hanya datang untuk mengawal keselamatan. Tetapi apa yang dia lakukan adalah sebaliknya,” katanya. 

Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasah membawa perisik berkenaan ke Balai Polis Perda untuk membuat laporan. “Ini adalah salah guna kuasa yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan kakitangan kerajaan untuk tujuan politik,” kata Sivarasah. - http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/07/sarjan-wong-tumpas-di-permatang-pauh/