Koleksi Sensasi

Sheera Iskandar Tak Anggap Diri Malang

Dulu dia pernah kecewa kerana putus tunang. Kemudian pengganti yang diharap dapat membawanya ke gerbang perkahwinan juga memusnahkan impiannya.
Masih percaya akan setiap ketentuan, pelakon Sheera Iskandar tidak menganggap dirinya insan malang dalam percintaan.
“Saya tidak pernah rasa yang diri ini tak bertuah dalam bercinta, cuma apabila dengan yang sebelum ini saya meletakkan hubungan kami seperti kawan, rasa cinta itu secara semula jadi berlalu pergi. Sehinggakan apabila dia bertemu pengganti, saya tidak rasa ‘sakit’ pun. Lagi satu, apabila hanya berkawan macam mana saya mahu hormat dia untuk menjadi suami,” kata anak pelakon Aznah Hamid ini.
Kata gadis berusia 30 tahun ini, pengalaman yang dilalui banyak mendewasakan diri. Tewas dalam hubungan yang dibina mengajarnya erti mencari cinta sejati.
Selepas tiga tahun hidup menyendiri tanpa kekasih hati, pelakon drama Halimah Jongang ini mengharapkan selepas ini dia bertemu lelaki terbaik yang dapat menjadi suami dan bukan sekadar peneman di sisi.
"Selepas putus cinta tiga tahun lalu, saya belum ada lagi pengganti. Alhamdulillah, apabila bergelar solo saya rasa ok. Mungkin sebab keluarga sentiasa ada bersama, itu yang membuatkan saya jadi lebih tenang," katanya yang turut menafikan dia melangsungkan pertunangan hujung minggu lalu.
Selain masih aktif berlakon, Sheera yang kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem Takdir Cinta untuk siaran TV AlHijrah, kini dilantik menjadi duta produk kecantikan sejak Mac.