Koleksi Sensasi

Siti Nurhaliza Lancarkan Radio Peace Yall FM


Penyanyi Nombor Satu negara, Datuk Siti Nurhaliza diberi penghormatan untuk melancarkan Peace Yall FM, radio online berkonsepkan radio interaktif yang pertama di Malaysia.

Momen bersejarah ini berlangsung dalam satu majlis yang cukup meriah di Zebra Square, Kuala Lumpur, malam tadi (Rabu).

Peace Yall FM yang dimiliki sepenuhnya oleh bintang tersohor, Datuk AC Mizal, sudah mula bersiaran semenjak 4 Mei lalu.

Semasa ditemui selepas majlis perasmian tersebut, AC Mizal memberitahu mengapa Siti Nurhaliza dipilih untuk melancarkan stesen radio yang berkonsep terkini itu.

“Peace Yall FM adalah sebuah stesen radio yang dimiliki oleh golongan artis, maka kami mahu seorang artis juga yang melancarkan majlis perasmian radio ini.

“Datuk Siti Nurhaliza mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam industri hiburan tanah air, maka kami memilih Penyanyi Nombor Satu negara ini untuk bersama-sama kami semasa detik bersejarah ini,” kata AC Mizal kepada Mangga Online.