Koleksi Sensasi

Tak Mengaku Bunuh Dua Wanita Indonesia

Hong Kong: Pegawai bank warga Britain yang didakwa membunuh dan mengerat dua wanita Indonesia di apartmen mewahnya di bandar ini, tahun lalu, membayangkan akan mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu seterusnya memungkinkan proses perbicaraan yang panjang.

Rurik Jutting, 30, tidak membuat pengakuan secara rasmi di Mahkamah Majistret, semalam, namun menjawab ‘ya’ apabila Majistret Jason Wan bertanya: “Jadi kamu akan mengaku tidak bersalah?”

Kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan. Tarikhnya masih belum ditetapkan.

Jutting berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.


Peguamnya Michael Vidler berkata: “Jika tertuduh mengaku salah hari ini (semalam) kesnya akan terus dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk hukuman.

“Namun dia membayangkan tidak mahu mengaku bersalah jadi perbicaraan tetap akan diteruskan.”

Jutting didakwa membunuh Seneng Mujiasih dan Sumarti Ningsih, kedua-duanya berusia 20-an. Mangsa ditemui dikerat di kediaman mewah Jutting pada 1 November lalu selepas dia sendiri menghubungi polis.

Mayat Seneng ditemui di ruang tamu dalam keadaan bogel dengan kesan kelar pada kaki serta punggungnya, manakala mayat Sumarti yang mereput ditemui beberapa jam kemudian dalam bagasi di balkoni rumah itu.