Koleksi Sensasi

XPDC Nyaris Berpecah, Muncul Dengan Konsert

Vokalis XPDC, Mael mendedahkan ahli-ahlinya nyaris berpecah gara-gara tiada persefahaman pada zaman kegemilangan kumpulan itu sekitar tahun 1990-an.

Mael  atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim berkata, bagaimanapun, kerana sayang pada kumpulan dan menghargai peminat membuatkan mereka kekal sehingga kini.

"Sedangkan lidah pun tergigit apatah lagi sesama rakan. Diakui kami nyaris berpecah atas kesilapan lama sebelum ini.

"Tambahan pula persefahaman yang kurang buatkan kami tidak boleh bersama. Tetapi selepas memikirkan susah senang kami bersama dan sokongan padu peminat membuatkan XPDC masih wujud sehingga ke hari ini," kata Mael kepada mStar Online.

Mael ditemui pada sidang media Konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Disini di Talent Lounge PJ Trade Centre di sini pada petang Khamis.

Selain Mael, XPDC kini dianggotai  pemain Eddie (bes), Lola (deram) Izu (gitaris). 

Sementara itu, kata Mael, kerana sokongan peminat yang masih kuat sehingga kini membuatkan XPDC bakal mengadakan berkenaan pada 6 Jun 2015 di Stadium Merdeka dekat sini.

Konsert itu juga bersempena menyambut ulang tahun XPDC yang ke-26 sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1989.

"Menariknya konsert ini kami akan mempersembahkan sebantak 25 buah lagu yang pernah hit sebelum ini selama dua jam.

"Malah konsert ini akan dirakamkan untuk dijadikan sebuah album berkonsep DVD sebagai tanda penghargaan kepada peminat.

"Selain itu pada konsert itu nanti kami juga akan memberi sedikit  kejutan kepada para peminat," ujarnya.

Tiket berharga RM95 sudah mula dijual di semua cawangan Rock Corner atau boleh dibeli secara online di www.tickethotline.com.my atau hubungi 03-77251177.

Konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Disini  dianjurkan oleh DuaLaris Event.

Antara lagu popular XPDC termasuklah Hentian Ini, Titian Perjalanan, Hairan Bin Ajaib, Senapang Patah dan Semangat Yang Hilang.