Koleksi Sensasi

Bajet SPRM Untuk Peralatan Baru Dibeku Tiga Tahun

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menaik taraf teknologi atau peralatannya untuk tiga tahun akan datang kerana kekangan bajet, kata Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad.

"Bajet untuk peralatan itu telah dibekukan sepanjang tiga tahun. Kita mungkin ketinggalan dari sudut teknologi, dari sudut membuat risikan....," katanya kepada Agenda Awani malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, ia bukan sebab untuk menghalang SPRM daripada menjalankan tanggungjawabnya. Namun ia juga merupakan satu kekangan terhadap SPRM memandangkan rasuah yang ketika ini lebih kompleks.

"Teknologi yang amat penting bagi membantu di sudut siasatan di mana rasuah pada ketika ini bukan lagi rasuah pada 10 tahun yang lepas. Rasuah pada ketika ini lebih kompleks dan lebih sistematik. Ia akan melibatkan jaringan antarabangsa dan sindiket," katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu berita perdana Astro Awani dalam segmen berita perdana 'Hari Ini 8' bahawa bajet SPRM untuk tahun ini adalah yang paling rendah sejak 2013.

Dzulkifli, yang mengangkat sumpah sebagai ketua pesuruhjaya badan anti-rasuah itu Ogos lepas, berkata harapan SPRM ialah untuk menjadikan arus menentang rasuah sebagai agenda nasional.

posted@malaysiasensasi.net via malaysiakini